2025-04-14 HaiPress
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA,14 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Bangkok,Thailand minggu ini bagi menghadiri mesyuarat dengan rakan sejawat Paetongtarn Shinawatra bagi membincangkan pelbagai isu,termasuk berkaitan usaha membersih dan mendalamkan Sungai Golok.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat yang diadakan selepas lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia itu juga melibatkan perbincangan mengenai kerja-kerja tebatan dan pengorekan sungai yang merintangi kawasan berpenduduk di kedua-dua negara berkenaan.
“(Kerja-kerja) Pengorekan dan pembersihan Sungai Golok ini (perlu)... yang menyebabkan banjir di kawasan selatan Thailand dan Kelantan,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini,hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok,Khamis ini untuk membincangkan beberapa perkara,termasuk meminta pihak junta melanjutkan tempoh gencatan senjata.
Beliau berkata ia bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Myanmar.
“Buat pertama kali,seorang ketua ASEAN akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing. Walaupun ASEAN masih berpegang pada Konsensus Lima Perkara sebagai syarat utama kerjasama dengan Myanmar,pertemuan ini diadakan atas dasar kemanusiaan.
“Gempa bumi melanda Myanmar baru-baru ini agak parah dan Jemaah Menteri bersetuju meneruskan bantuan termasuk melalui hospital sementara yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Walaupun terdapat pandangan sinis mempersoalkan usaha Malaysia membantu negara itu dengan alasan rakyat Malaysia sendiri masih memerlukan perhatian,Anwar berkata kerajaan tidak boleh menafikan konflik di Myanmar boleh membawa kesan langsung kepada negara ini,termasuk penyeludupan manusia.
“Memandangkan rundingan rasmi antara ASEAN dan Myanmar serta hubungan dua hala yang terhad,adalah penting untuk kita menunjukkan kebijaksanaan dalam merangkul kekuatan serantau. Saya berterima kasih kepada Jeneral Min Aung Hlaing,kerana menyahut seruan kita dengan baik.
“Hanya dengan satu panggilan telefon,beliau bersetuju mengadakan pertemuan dengan saya di Bangkok,walaupun 17 April merupakan cuti agama besar di Myanmar. Ini mencerminkan pengiktirafan terhadap persahabatan Malaysia dan kesediaan mereka untuk berbincang,” katanya.
Anwar berkata di dalam perbualannya,beliau memaklumkan bahawa bantuan hanya akan dihulurkan sekiranya kegiatan ketenteraan dihentikan terlebih dahulu.
“Rakyat sedang menderita.. justeru,saya minta supaya diadakan gencatan senjata. Dua hari selepas itu,pihak Myanmar mengumumkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sehingga 22 April ini.
“Walaupun bukan semata-mata hasil usaha kita,sekurang-kurangnya Malaysia telah menyuarakan pendirian dengan jelas mewakili ASEAN. Insya-Allah,dalam pertemuan saya dengan beliau pada 17 April ini,saya akan minta supaya tempoh gencatan senjata dilanjutkan,” katanya. - BERNAMA
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15
04-15