2025-11-20 HaiPress

Foto RTM
KUALA LUMPUR,19 November - Prestasi perdagangan Malaysia pada Oktober 2025 mencatat peningkatan ketara apabila nilai perdagangan,eksport dan import melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah.
Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan,jumlah perdagangan berkembang sebanyak 13.6 peratus kepada RM277.65 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.
''Eksport meningkat bagi empat bulan berturut-turut,naik 15.7 peratus kepada RM148.32 bilion,manakala import bertambah 11.2 peratus kepada RM129.33 bilion.
''Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM18.99 bilion,ke-66 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,'' menurut kenyataan itu.
Kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan eksport,dengan sektor perkilangan kekal sebagai pemacu utama,meningkat 15.7 peratus tahun ke tahun kepada rekod tertinggi baharu sebanyak RM126.68 bilion.
Barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik,mencatatkan permintaan kukuh dengan kedua-duanya merekodkan nilai eksport tertinggi setakat ini.
Sektor hasil galian mengekalkan momentum positif bagi dua bulan berturut-turut,dipacu oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam.
Manakala sektor keluaran pertanian turut mencatatkan pertumbuhan,didorong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
''Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama termasuk ASEAN,China,Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan.
''Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025,Malaysia mencatatkan nilai sepuluh bulan pertama tertinggi bagi perdagangan,eksport dan import untuk tempoh tahun ke tahun,'' tambah kenyataan itu.
Perdagangan meningkat 5.4 peratus kepada RM2.512 trilion,dipacu oleh kenaikan 6.0 peratus eksport berjumlah RM1.319 trilion dan pertumbuhan 4.7 peratus import kepada RM1.194 trilion.
Lebihan dagangan sebanyak RM125.02 bilion telah direkodkan pada tempoh sama.
Sementara itu,MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kekal komited dalam menyokong pengeksport Malaysia di tengah-tengah tekanan luaran.
''Pada masa sama akan terus menggalakkan syarikat untuk mempelbagaikan pasaran,mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan,memantau perkembangan perdagangan global serta memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
''Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–Emiriah Arab Bersatu (UAE) (CEPA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu turut dijangka membantu pengeksport Malaysia untuk memanfaatkan kedudukan UAE sebagai pintu masuk strategik ke Asia Barat dan seterusnya,'' katanya.
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20
11-20