2025-08-01 HaiPress
Pengarah I-AQUAS bersama Timbalan Pengarah melepaskan benih ketam renjong di Kuala Sebatu,Sungai Rambai,Melaka/Foto UPM
MELAKA,1 Ogos – Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS),Universiti Putra Malaysia (UPM) melepaskan lebih 250,000 benih ketam renjong (Portunus pelagicus) di Pengkalan Nelayan Kuala Sebatu,pada Rabu lalu.
Pelepasan benih itu merupakan sebahagian daripada Program Translasional 2023: Empowering Social Transformation through Aquaculture di bawah inisiatif “High-Value Blue Swimming Crab Seed Program for the Sungai Rambai Community”.
Pengarah I-AQUAS,Prof Dr Ahmad Zaharin Aris berkata,program yang kini memasuki tahun kedua turut memperkenalkan kaedah penternakan ketam renjong secara sistematik kepada nelayan sebagai sumber ekonomi baharu.
“Program ini menyokong pemulihan stok ketam renjong yang semakin berkurangan dan menjadi antara sumber utama pendapatan nelayan.
“Empat pelepasan benih telah dilaksanakan sejak program ini bermula,dan hasilnya pendaratan ketam meningkat ketara,” katanya.
Menurutnya,nelayan yang sebelum ini hanya memperoleh tiga hingga empat ekor ketam setiap kali ke laut kini mampu mendaratkan sehingga 80 kilogram sekali gus meningkatkan pendapatan harian sehingga RM4,000.
Katanya lagi,UPM turut membangunkan modul latihan merangkumi teknik penjagaan,pembenihan serta pemasaran bagi membantu nelayan mengurus ternakan secara berdikari dan menjual hasil terus kepada pembeli.
“Nelayan tidak lagi bergantung kepada hasil tunggal seperti kupang. Dengan adanya ketam renjong,ia membantu menambah kepelbagaian hasil laut dan daya tahan ekonomi komuniti pesisir,” katanya.
Tambah beliau,benih yang dibangunkan menerusi program itu juga berkualiti tinggi dan berjaya mempercepatkan tempoh pembesaran ketam daripada 10 hingga 12 bulan kepada hanya lima hingga lapan bulan.
“Kadar kelangsungan hidup juga meningkat kepada 20 peratus berbanding hanya 10 peratus secara semula jadi sebelum ini,” katanya.
Sementara itu,Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin,Turina Mulo Ab Kahar menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.
“Usaha ini wajar diteruskan dan diperluaskan lagi agar lebih ramai nelayan mendapat manfaat,bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam aspek pemindahan teknologi dan ilmu,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Nelayan Sebatu,Johari Ismail pula berkata,projek itu memberi impak besar kepada penduduk memandangkan hasil laut kini tidak lagi seperti dahulu.
“Dengan perubahan ekosistem dan bantuan pembenihan ketam renjong,penduduk kini mendapat hasil laut yang lebih pelbagai dan menyumbang kepada penambahan sumber makanan negara,” katanya.
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01
08-01