Rumah Pakar tempatan Hiburan global Harta tanah komersial 5G Bempatan Institusi latihan Permainan Automatik Daquan Hotel Makanan Berita Ibu bapa-anak Sukan Hartanah Kewangan Cerdas Anak Kesihatan

FBM KLCI dijangka uji paras 1,500 minggu depan disokong sentimen lebih baik

2025-04-21 IDOPRESS

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,19 April- Indeks pasaran utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus menguji paras psikologi 1,500 mata minggu hadapan,dengan pergerakan berterusan melepasi paras itu berkemungkinan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik aliran masuk asing.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya kekal optimistik terhadap prospek jangka masa pendek pasaran tempatan,dengan sentimen kekal positif,disokong oleh kenaikan ringgit,penilaian ekuiti yang menarik,dan keadaan pasaran yang semakin baik.

“Dari sudut teknikal,FBM KLCI dijangka terus menguji paras rintangan psikologi penting pada 1,500 minggu hadapan. Kami menjangkakan indeks penanda aras ini bergerak dalam julat 1,490 hingga 1,510,dengan 1,490 sebagai sokongan serta merta dan 1,510 sebagai rintangan.

“Penutupan dagangan yang kukuh melepasi paras 1,500 disertai dengan jumlah dagangan yang tinggi akan menjadi isyarat positif,menunjukkan potensi untuk aliran menaik yang lebih berpanjangan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata sekiranya indeks utama dapat kekal di atas paras tersebut bagi tempoh lebih lama,keadaan itu akan membentuk asas kukuh untuk kenaikan selanjutnya,sekali gus memulihkan keyakinan pelabur dan menarik minat baharu ke dalam pasaran.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tumpuan utama minggu hadapan adalah lawatan delegasi Malaysia ke Washington,yang diketuai oleh Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk membincangkan isu berkaitan tarif.

“Peserta pasaran berhati-hati namun kekal optimistik,menjangkakan hasil pragmatik berdasarkan rekod prestasi Tengku Zafrul dalam diplomasi perdagangan yang terbukti. Pewujudan rangka kerja yang jelas untuk menangani isu tarif era Donald Trump boleh menambah baik lagi sentimen pelabur terutama bagi kaunter berorientasi eksport,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun,sebarang petanda dasar yang tidak jelas atau kurang kemajuan mungkin mencetuskan turun naik ketara jangka pendek,dan mungkin mendorong pelabur mengambil pendekatan lebih defensif,khususnya terhadap saham bermodal besar yang bersifat defensif.

Trajektori jangka masa pendek FBM KLCI kekal cenderung kepada peningkatan,disokong oleh sentimen yang semakin baik,penilaian menarik,dan kelebihan sektor dalam kaunter dipacu oleh permintaan domestik,katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat,indeks utama meningkat 44.64 mata kepada 1,499.40 daripada 1,454.76 pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas meningkat 311.42 mata kepada 11,121.50,Indeks FBMT 100 menambah 303.06 mata kepada 10,904.73,Indeks FBM Emas Syariah menokok 305.22 mata kepada 10,910.13,Indeks FBM 70 melonjak 347.70 mata kepada 15,613.63,dan Indeks FBM ACE naik 163.19 mata kepada 4,575.38.

Mengikut sektor,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 5.65 mata kepada 145.08,Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 498.99 mata kepada 18,033.52,Indeks Perladangan menokok 163.85 mata kepada 7,226.38,dan Indeks Tenaga menambah 17.13 mata kepada 665.87.

Bagaimanapun,Indeks Penjagaan Kesihatan susut 6.48 mata kepada 1,869.85.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 13.43 bilion unit bernilai RM8.48 bilion daripada 19.65 bilion unit bernilai RM17.56 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 6.30 bilion unit bernilai RM7.33 bilion berbanding 11.09 bilion unit bernilai RM14.08 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran turun kepada 5.53 bilion unit bernilai RM638.12 juta daripada 6.18 bilion unit bernilai RM524.37 juta pada minggu sebelumnya.

Sementara itu,jumlah dagangan Pasaran ACE pula susut kepada 1.59 bilion unit bernilai RM504.28 juta daripada 2.35 bilion unit bernilai RM699.77 juta sebelumnya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 mycitynews      Hubungi kami   SiteMap