2025-12-08 HaiPress

Presiden FMM,Jacob Lee Chor Kok akui langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta akan mengurangkan tekanan kewangan PKS / BERNAMA
KUALA LUMPUR,8 Disember - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) akui langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta akan memberi kejelasan lebih ketara untuk pemilik perniagaan melakukan perancangan selain mengurangkan bebanan pematuhan segera.
Presiden baharu FMM,Jacob Lee Chor Kok berkata selain itu tindakan kerajaan menaikkan peruntukan bagi bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember berupaya membantu mempercepat pembayaran tertunggak serta memberikan sokongan mudah tunai yang kritikal.
“Langkah-langkah yang tepat pada masanya serta strategik ini memberi kelegaan bermakna kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling kecil dengan kebanyakannya terus beroperasi dalam keadaan margin tipis,kapasiti pentadbiran terhad dan tekanan aliran tunai berterusan akibat peningkatan kos operasi serta pembiayaan yang lebih ketat.
“Ini akan mengurangkan tekanan kewangan di serata sektor pembuatan dan PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu,FMM berkata kenaikan nilai ambang itu akan memberi ruang kepada perusahaan mikro dan kecil untuk melakukan usaha pendigitalan pada kadar lebih wajar serta mampu diurus.
Bayaran balik cukai yang bertepatan pada masanya juga penting berikutan operasi perniagaan berdasarkan terma kredit dan berdepan tunggakan hutang yang ketara serta perlu membayar cukai dahulu sebelum menerima pendapatan sebenar.
Bagi Jacob secara keseluruhannya,keputusan kerajaan itu akan membantu menstabilkan aliran tunai perniagaan,mengukuhkan aspek persiapan pematuhan dan menggalakkan kelancaran peralihan dalam ekosistem cukai digital Malaysia yang sedang berkembang. -BERNAMA
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08